Sabtu, 28 Mac 2009

Saya Terlalu Kecewa – Mantan SUA PMRAM..




KAHERAH : “Saya terlalu kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan.” Demikian dinyatakan oleh Saudara Syafiq Zulakifli, mantan Setiausaha Agung PMRAM yang menolak dakwaan Wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan yang mendakwa PMRAM mengancam minda mahasiswa supaya menentang kerajaan.

“Isu ini adalah isu lapuk. Sudah berpuluh-puluh tahun nama PMRAM dilabel sebagai pro-pembangkang. Kita yakin dan percaya tindakan tersebut adalah fitnah terbesar yang masih dijaja-jaja di dalam Perhimpunan Agong UMNO. Setiap kali Perhimpunan Agong UMNO dijalankan, nama PMRAM mesti dibangkitkan.”

Beliau juga menolak dakwaan kononnya pegawai-pegawai di Mesir tertekan dengan PMRAM kerana menyekat pelajar tinggal di asrama.

“Kita tidak ada kuasa untuk melarang mana-mana pelajar untuk tinggal di asrama. Pelajar memohon dengan pegawai atau Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri sekiranya ingin tinggal.”

“Malah, kita kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang melarang wakil kepimpinan PMRAM tinggal di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) yang merupakan salah satu tempat penginapan pelajar yang dahulunya milik PMRAM.”

“Selepas Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menukar bangunan asrama tersebut kepada Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah pada tahun 2004, semakin sukar mahasiswa ingin memohon menduduki asrama tersebut. Pejabat PMRAM yang sepatutnya diberikan kepada PMRAM di dalam bangunan tersebut pun, tidak dilayan sehingga kini.”

Beliau berkata, bangunan ARMA yang terletak di Kaherah adalah hasil usaha dan keringat orang-orang lama di dalam Persekutuan Melayu Mesir (PMM) yang diterima daripada Jamal Abdul Nasir, Presiden Mesir pada waktu itu.

“PMRAM pada waktu itu menghantar 65 orang sukarelawan membantu kerajaan Mesir menentang musuh di dalam peperangan tiga serangkai. Selepas itu, dalam tahun 1956 PMRAM telah dihadiahkan sebidang tanah oleh Presiden Mesir. Namun, wakil PMRAM tidak boleh tinggal di asrama tersebut sehingga ke hari ini.”

Jelasnya lagi, usaha untuk mengharamkan PMRAM sudah lama berlaku. Namun, nusrah serta bantuan daripada Allah SWT adalah kekuatan pada PMRAM sehingga ke hari ini.

"Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) tidak pernah bermasalah dengan PMRAM tetapi mengapa Nadi UMNO terlalu tertekan dengan PMRAM."

sumber daripada http://typeace.blogspot.com/

Tiada ulasan: